Ahmad Umar Dinobatkan Peserta Kedua Terbaik NKIGM 2026 Peringkat Kebangsaan

0
Ahmad Umar bin Abdul Halim memegang sijil dan trofi selepas dinobatkan Peserta Kedua Terbaik NKIGM 2026 Peringkat Kebangsaan
Ahmad Umar bin Abdul Halim memegang sijil penghargaan dan trofi selepas dinobatkan sebagai Peserta Kedua Terbaik NKIGM 2026 Peringkat Kebangsaan

(Foto: Fail SMKADG)

HULU TERENGGANU, 26 September — Majlis Penutupan Kem Nadwah Kepimpinan Islam Generasi Madani (NKIGM) Sekolah Menengah Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 (Zon 4) telah berlangsung dengan jayanya pada pagi Sabtu di Pusat Kokurikulum Negeri Terengganu, Kem Bukit Kolam, Kuala Berang.

Majlis penutupan program yang bertemakan “Adab Dan Nilai Nadi Reformasi Pendidikan” ini disempurnakan dengan kehadiran YBhg. Tuan Haji Omar Salleh, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 September 2026 ini menyaksikan pencapaian amat membanggakan apabila pelajar Sekolah Menengah KebangsaanAgama (SMKA) Durian Guling (SMKADG), Ahmad Umar bin Abdul Halim, dinobatkan sebagai Peserta Kedua Terbaik di peringkat kebangsaan.

Pengiktirafan ini diberikan berasaskan prestasi cemerlang, sahsiah terpuji, serta kualiti kepimpinan berteraskan adab dan nilai Madani yang ditunjukkan oleh beliau sepanjang kem berlangsung.

Program anjuran KPM ini bertujuan membina modal insan berkaliber dalam kalangan pelajar sekolah menengah menerusi penghayatan aspirasi Malaysia Madani serta Reformasi Pendidikan.

Kejayaan ini sekaligus mengharumkan nama SMKA Durian Guling di peringkat kebangsaan. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Saudara Ahmad Umar bin Abdul Halim! Semoga beliau terus menjadi perintis kepimpinan muda yang berwibawa dan memberi inspirasi kepada rakan-rakan seilmu.

About Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *