Teknik pengajaran Sains, Matematik perlu lebih interaktif

0

KUCHING 1 Mac – Kaedah pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik perlu dipertingkat dan diubah pendekatannya bagi mencapai sasaran 60 peratus nisbah golongan pelajar dalam jurusan sains menjelang tahun depan.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah berkata, sekiranya kaedah penyampaian diubah menjadi lebih interaktif, ia secara tidak langsung menarik golongan muda untuk belajar sekali gus menguasai dua subjek berkenaan.

“Dua subjek penting ini merupakan kelemahan utama pelajar Sarawak kerana pada masa ini, tidak ramai yang menguasainya.

“Justeru, amat penting sistem pengajarannya diubah menjadi lebih menyeronokkan supaya mudah difahami dan menarik minat mereka untuk mempelajarinya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat rombongan Persatuan Perkembangan Profesionalisme Pendidikan Sarawak (Profes) yang diketuai presidennya, Dr. Zulwali Kifli, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata, pendidikan merupakan bidang yang fleksibel kerana sentiasa berubah- ubah bagi tujuan penambahbaikan.

“Bagaimanapun, setiap perancangan menambahbaik yang dibuat perlu diperhalusi daripada segenap aspek supaya bukan sahaja tidak merugikan pelajar, malah menjamin masa depan golongan itu.

“Lebih-lebih lagi sekarang ini kita memerlukan lebih ramai generasi muda yang menguasai Matematik dan Sains untuk mengisi kekosongan tenaga mahir di seluruh negeri, khususnya di wilayah Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fatimah berkata, ibu bapa memainkan peranan penting dalam membantu mempersiapkan anak-anak untuk bersaing dari segi memenuhi keperluan tenaga kerja.

“Kita sukar meramal apa yang berlaku pada masa depan memandangkan golongan yang berpelajaran dan berkemahiran semakin meningkat dari semasa ke semasa.

“Oleh itu, amat penting anak muda hari ini dilengkapkan dengan pengetahuan dan kemahiran yang secukupnya sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan pada masa depan,” katanya.

About Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *