Siti Aishah penuhi impian keluarga

0

aisyahstpm

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
utusanterengganu@utusan.com.my

MARANG 18 Mac – Dua tahun lalu, Siti Aishah Ismail, 20, terpaksa mengikut kehendak keluarga dengan meneruskan pengajian di Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang Sains biarpun dia mengimpikan untuk menjadi seorang guru Bahasa Melayu.

Namun, anak bongsu daripada lima beradik itu hanya mampu bertahan selama sebulan apabila dia nekad mengambil keputusan untuk berhenti dan kembali bersekolah seterusnya menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Keputusan tersebut ternyata tidak mengecewakan bapanya, Ismail Mohd, 62, seorang pemandu teksi dan ibu, Zaimah Jusuh, 54.

 

Lebih menggembirakan anak Kampung Tebakang itu muncul antara tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Durian Guling yang memperoleh keputusan 4A.

Menceritakan bagaimana melalui saat-saat sukar ketika mengambil keputusan untuk menduduki STPM, Siti Aishah mengakui dia tekad berbuat demikian apabila sepanjang tempoh sebulan berada di matrikulasi itu, dia tidak tenang dan sentiasa mahu pulang ke rumah.

“Saya amat berpuas hati kerana hari ini saya dapat buktikan kepada ibu bapa bahawa saya berjaya membanggakan mereka,” katanya ketika ditemui di SMKA Durian Guling, di sini hari ini.

Dua orang lagi pelajar SMKA Durian Guling yang memperoleh 4A ialah Muhammad Usamah Mohd. Kamarudin, 20, dari Kampung Binjai Rendah dan Muhammad Syeikhul Ikram Mohd. Zali, 20, dari Kampung Pantai Ali yang merupakan antara 102 orang calon STPM di sekolah itu.

Sama seperti Siti Aishah, Muhammad Usamah juga mengakui tindakannya untuk meneruskan pengajian di tingkatan enam berbaloi selepas dia menolak tawaran matrikulasi sains di sebuah universiti apabila berjaya memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu.

“Cita-cita saya mahu jadi pensyarah dalam bidang syariah dan apabila dapat tawaran ke matrikulasi dalam bidang bukan berkaitan saya menolak dan meneruskan pengajian di tingkatan enam walaupun selepas itu cemburu melihat rakan-rakan berstatus penuntut universiti.

“Namun rasa menyesal dan cemburu itu menjadi pemangkin buat saya untuk belajar dengan bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan seperti hari ini dan saya tidak sabar mahu bergelar penceramah atau imam muda satu hari nanti,” jelasnya.

Bagi Muhammad Syeikhul Ikram pula, kejayaannya itu diharap dapat menjadi contoh kepada adik-adiknya untuk terus berjaya dalam pelajaran.

“Saya sanggup bersengkang mata bangun pukul 4 pagi semata-mata mahu belajar bersendirian kerana pada waktu biasa sukar untuk mengulang kaji apabila dikelilingi ramai kawan disebabkan saya tinggal di asrama.

“Bagaimanapun, saya nekad untuk berjaya, jadi saya lawan perasaan malas itu dan akhirnya berjaya dan berharap adik-adik dapat jadikan contoh selepas ini,” kata anak peniaga ini.

© Utusan Melayu (M) Bhd

ARKIB : 19/03/2013

About Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *