PM: Sekolah jauh punca anak Orang Asli tercicir
Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak juga berkata, masyarakat itu juga perlu dibekalkan guru yang berdedikasi manakala ibu bapa pelajar berkenaan perlu mementingkan pendidikan anak-anak mereka.
Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan tiga komponen utama yang perlu bagi masyarakat Orang Asli mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan negara seiring dengan masyarakat lain.
Perdana Menteri berkata lokasi sekolah berdekatan dengan penempatan kaum itu merupakan komponen yang perlu diberi keutamaan kerana ia merupakan faktor penyumbang kepada keciciran pelajaran anak Orang Asli.
“Kedudukan sekolah jauh sehingga 25 hingga 40 kilometer dari rumah merupakan salah satu punca keciciran anak Orang Asli dalam pendidikan,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah Sekolah Kebangsaan Simpai, di Pekan, hari ini.
Selain lokasi sekolah, Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan, berkata komponen kedua dalam memastikan prestasi pelajar Orang Asli melonjak ialah dengan adanya barisan guru yang berdedikasi dan sanggup berkhidmat di kawasan penempatan kaum itu.
Katanya komponen terakhir dan paling penting adalah perubahan sikap ibu bapa yang mementingkan pendidikan anak-anak demi masa depan mereka dalam mengharungi arus pemodenan.
“Ibu bapa mesti berubah sikap, sekiranya masih berada di takuk lama maka tiada gunalah kita sediakan kemudahan sekolah serba lengkap tapi kesannya tidak seperti yang kita harapkan,” katanya.
Katanya dua cabaran besar masyarakat Orang Asli dalam bidang pendidikan negara ialah kadar keciciran tinggi di mana 31 peratus anak Orang Asli tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah.
Menurutnya cabaran besar bagi pihak kerajaan pula adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat itu mengenai kepentingan bidang pendidikan.
Cabaran besar yang kedua adalah kurangnya pencapaian mereka dalam bidang pendidikan dan oleh sebab itu usaha kerajaan diperlukan untuk melihat kejayaan mereka, katanya.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis sambutan rumah terbuka Tahun Baru Cina MCA Pekan di Dewan Konvensyen, Pekan selepas itu, Najib berkata rakyat yang berbakat dan berkebolehan dari segi intelektual dan kemahiran adalah rencah utama dalam menentukan masa depan negara yang hebat.
Katanya penyatuan pelbagai kaum yang mewujudkan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk lebih jitu juga penting untuk memacu negara ini mencapai status negara maju pada 2020.
“Kita boleh ibaratkan ia seperti sajian ‘Yee Sang’ yang ramuan asalnya berasingan tetapi apabila digabung dan dicampur adukkan akan menjadi sajian yang menarik dan sedap dimakan.
“Begitu juga dengan usaha membawa lebih banyak kejayaan negara ini pada masa akan datang bergantung kepada gabungan bakat, kebolehan dan ilmu pengetahuan rakyatnya daripada masyarakat berbilang kaum,” katanya.
– Bernama