Kuasa pengetua bantu lebih ramai pelajar sambung Tingkatan Enam

0

LEBIH ramai pelajar dijangka dapat menyambung pengajian ke Tingkatan Enam susulan pemberian kuasa autonomi kepada pengetua untuk mengendalikan sendiri proses pengambilan.

Berbanding sebelum ini yang menyaksikan tawaran ke Tingkatan Enam dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kuasa autonomi yang diberikan kepada pengetua membolehkan mereka turun padang mencari calon berpotensi.

Apatah lagi Tingkatan Enam secara umumnya menjadi pilihan pelajar dalam kalangan keluarga B40 disebabkan kos pembiayaan yang rendah. Malah ketika Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diumumkan baru lalu, daripada seramai 1,184 calon yang mendapat PNGK 4.00, 1,009 calon adalah kategori B40.

Malah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika pengumuman penjenamaan semula Tingkatan Enam menjadi Kolej Pra-Universiti baru-baru ini menyebut, pemberian autonomi itu juga memberi jaminan capaian lebih luas kepada pelajar daripada golongan B40 untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam, yang memerlukan lebih perhatian dan inisiatif daripada kerajaan.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon, berkata kuasa autonomi yang diberikan kepada pengetua dijangka mampu membantu memperkasakan Tingkatan Enam.

Fouzi berkata, secara logik, pengetua dan guru sememangnya amat mengenali pelajar mereka, justeru tawaran secara terus kepada pelajar berpotensi lebih mudah dilakukan tanpa ada banyak kerenah birokrasi.

Katanya, apabila pengetua diberi kelonggaran dalam pengambilan pelajar secara terus, peratusan peningkatan bilangan pelajar yang memasuki Tingkatan Enam dapat ditingkatkan.

“Malah pengetua bersama pengurusan sekolah mungkin boleh membuat kunjungan ke rumah pelajar dengan memberikan sendiri surat tawaran tanpa proses yang panjang dan penuh birokrasi.

“Tentu saja pemberian kuasa autonomi kepada pengetua ini berupaya mencetuskan minat pelajar untuk menyambung pelajaran sesudah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Malah ia akan meningkatkan semangat mereka untuk mencipta laluan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya,” katanya.

Fouzi berkata, sejak diperkenalkan Tingkatan Enam sekarang sudah banyak mengalami perubahan berbanding dahulu. Ia sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memberi imej baharu kepada Tingkatan Enam.Untuk rekod, sistem pendidikan Tingkatan Enam sudah mengalami perubahan sejak ia beralih daripada kaedah STPM Terminal kepada STPM baharu (modular) sekitar 2012.

Sistem modular adalah kaedah yang sama dipraktikkan di universiti iaitu membabitkan sesi pengajian tiga semester.

KPM mengklasifikasi sekolah Tingkatan Enam berdasarkan tiga mod. Mod satu merujuk kepada sekurang-kurangnya 12 kelas yang menempatkan hanya murid-murid Tingkatan Enam sahaja dan diajar oleh guru-guru akademik yang dilantik sebagai guru Tingkatan Enam.

Mod dua, sekolah yang mempunyai sekurang-kurangnya 12 kelas, beroperasi di sekolah arus perdana, manakala mod tiga sekolah yang mempunyai kurang daripada 12 kelas, sekolah jauh dari bandar, tiada kemudahan asrama atau pengangkutan awam dan beroperasi di sekolah arus perdana.

Fouzi berkata, bagi pelajar yang menuntut di sekolah yang tidak menyediakan Tingkatan Enam, mereka boleh membuat berhubung dengan pengetua sekolah berkaitan selepas SPM diumumkan atau berurusan dengan Jabatan Pendidikan Negeri bagi tindakan selanjutnya.

Namun dalam masa yang sama katanya, NUTP berharap pengetua berkenaan tidak merasa terbeban dengan tugas baharu yang diberi kerana ia tidak membabitkan soal petunjuk prestasi utama (KPI).

“Bagaimanapun, pada masa sama kerajaan perlu juga mengambil kira saranan NUTP bagi membuka sekurang-kurangnya sebuah Kolej Pra-Universiti yang mirip Kolej Matrikulasi di setiap negeri,” katanya.

Sementara itu Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Mansor, Nor Rizal Mohammad Nor berpendapat, sama ada KPM atau pengetua, kedua-dua pihak seharusnya boleh membuat pengambilan pelajar ke Tingkatan Enam.

Namun katanya, kuasa autonomi yang diberikan kepada pengetua adalah lebih baik kerana mereka lebih dekat dan mengenali pelajar.

Hal ini katanya membantu pengetua mengesan calon layak ke Tingkatan Enam kerana lebih mengetahui salasilah pelajar, termasuk pencapaian akademik dan kokurikulum sekali gus memudahkan urusan pengambilan.

“Umumnya pengetua juga sentiasa mengambil berat hal-hal pelajar dan bagi PIBG pula, kami akan sentiasa bekerjasama erat dengan pentadbiran sekolah dalam banyak perkara termasuk hal pelajar.

“Malah kuasa autonomi yang diberikan kepada pengetua juga mampu mengecilkan peratusan pelajar yang tercicir. Jika dahulu tawaran dibuat oleh KPM dan ada banyak protokol yang mungkin menyebabkan pelajar tidak berminat untuk belajar,” katanya.

Nor Rizal berkata, semua pelajar berhak terhadap pendidikan. Malah bagi mereka yang kurang cemerlang dalam SPM, Tingkatan Enam adalah peluang bagi pelajar mencipta kecemerlangan.

Namun dalam masa sama, Nor Rizal berkata KPM juga seharusnya memikirkan untuk membuka sebuah kolej khas untuk pelajar Tingkatan Enam. Ia bertujuan mengasingkan pelajar berkenaan daripada sekolah harian arus perdana. Hal ini disebabkan sistem pembelajaran yang tidak sama seperti pelajar Tingkatan Lima dan ke bawah.

About Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *