Bersopan Santun Dalam Pergaulan
Bersopan santun merupakan salah satu daripada akhlak mulia yang amat dititik beratkan oleh Islam. Seseorang yang bersopan santun dipandang elok dan indah di samping dapat mencerminkan keperibadian seseorang. Sementara perbuatan biadab dan kurang ajar pula amat ditegah. Perbuatan seperti ini hanya akan mengundang keburukan dan dipandang jelek oleh masyarakat.
Setiap hari pastinya kita akan berhadapan dengan pelbagai golongan sama ada ibu bapa, suami, isteri, anak-anak, jiran, saudara mara, guru, rakan-rakan dan sebagainya. Ini bermakna setiap hari kita bergaul dan berkomunikasi dengan orang-orang di sekeliling kita. Jadi, kita perlulah menjaga adab sopan ketika bergaul dengan mereka. Bersopan santun itu pula bukan sahaja dilihat dari sudut tingkah laku, tetapi juga dari sudut percakapan dan pertuturan.
Antara adab sopan yang perlu dijaga dalam pergaulan ialah:
• Sentiasa merendah diri dan bersikap lemah lembut.
• Menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.
• Menjaga air muka dan maruah diri.
• Bermanis muka dan memberi salam apabila bertemu.
• Bertutur dengan kata-kata yang baik, sedap didengar dan tidak sia-sia.
• Tidak menyakiti atau menyinggung perasaan orang lain.
• Tidak bersikap kasar dan sentiasa menghindari perselisihan dan persengketaan.
• Tidak suka mencemuh, merendah serta mengaibkan orang lain.
• Tidak bersikap sombong, bangga diri, angkuh serta biadab.
• Bersikap menyenangkan serta menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada orang lain.