Ancaman ‘WannaCry’ Menggegar Dunia

Dunia telah digemparkan mengenai berita serangan siber yang paling buruk dalam sejarah iaitu Ransomware yang dikenali sebagai ‘WannaCry’ yang telah menyerang lebih daripada 45,000 buah komputer baru-baru ini.

Ransomware merupakan perisian komputer berbahaya yang mampu mencuri semua data daripada komputer yang menggunakan Windows Operating System yang telah dijangkiti dan menyekat akses kepada data di dalam komputer tersebut dengan menggunakan kaedah encryption.

Penjenayah siber tersebut menuntut wang tebusan sebanyak US$300 hingga US$600 dalam bentuk Bitcoin sekiranya pemilik mahu mengakses semula data yang telah disekat di dalam komputer masing-masing yang telah dijangkiti. Apa yang membimbangkan, pemilik komputer yang telah dijangkiti tidak ada jalan lain untuk mengembalikan semua data di komputernya melainkan dengan membayar wang tebusan tersebut dan sekiranya tidak berbuat demikian dalam tempoh tujuh hari, semua data dalam komputernya akan dilupuskan.

Negara yang paling banyak dijangkiti ancaman ini adalah Russia, Ukraine, India dan Taiwan. Antara syarikat besar yang telah dijangkiti adalah syarikat telekomunikasi Telefónica di Sepanyol, kurier FedEx di United Kingdom, pembuat kenderaan Renault di Perancis dan LATAM Airlines di Chile. Turut terjejas, sistem perkhidmatan kesihatan di United Kingdom.

Menurut petikan daripada The Star Online, setakat ini masih tiada lagi kes yang berlaku di Malaysia. Namun, mereka tidak menolak kemungkinan Malaysia juga mungkin akan menjadi salah satu sasaran penjenayah siber tersebut dalam masa terdekat.

Ekoran daripada itu, Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara, turut mengeluarkan kenyataan untuk memberi amaran dan nasihat kepada rakyat Malaysia agar berhati-hati dan melaksanakan langkah pencegahan agar komputer masing agar tidak dijangkiti oleh ancaman ini menerusi beberapa langkah seperti tidak mengakses pautan yang mencurigakan dan sebagainya.

Menurut laman sesawang Pusat Teknologi Maklumat (PTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), PTM turut mengambil inisiatif pencegahan awal kepada pelajar UKM untuk memuat turun perisian antivirus yang dibekalkan secara percuma oleh UKM dan membuat salinan pendua kepada semua data penting seperti tesis di pendrive atau Google drive agar terselamat daripada ancaman ini .

Bekas Ketua Unit Keselamatan Siber, Fakulti Teknologi Sains Maklumat (FTSM), UKM, Prof. Dr. Zarina Shukur berkata, sebagai sebuah pusat penyelidikan teknologi maklumat, FTSM bertanggungjawab untuk memberi kesedaran berbentuk pengetahuan am kepada para pelajar dan masyarakat dengan mengedarkan poster “Relaks & Respon” iaitu pendedahan mengenai Ransomware dan langkah keselamatan.

“Pelajar haruslah bersedia dengan membuat ‘backup’ di dalam laptop masing-masing dengan lebih kerap agar maklumat penting sudah tersimpan dengan selamat bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku terutamanya pada penghujung semester ini yang mungkin akan menjejaskan pengajian anda,” ujar beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *